Tuesday, March 27, 2012

CARA MEMILIH SAHABAT MENGIKUT IMAM GHAZALI

Kata Imam Ghazali:
Di dalam memilih sahabat hendaklah engkau perhatikan syarat-syarat bersahabat. Maka jangan engkau bersahabat kecuali dengan orang yang layak untuk dijadikan sahabat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya,oleh kerana itu hendaklah seseorang itu melihat terlebih dahulu siapakah yang patut dijadikan sahabat. Maka apabila engkau mahu mencari sahabat yang engkau jadikan dia sebagai sahabat di dalam menuntut ilmu dan di dalam urusan agamamu dan duniamu,maka hendaklah engkau engkau pastikan ada 5 sifat ada pada orang tersebut:

1. Orang yang berakal
Tidak ada kebaikan bersahabat dengan orang yang bodoh,kerana akibatnya akan membawa kepada permusuhan dan menyakitkan hati dan paling baik yang engkau dapatkan daripadanya ialah engkau terselamat dari mudaratnya ketika dia berusaha untuk memberi manfaat kepadamu. Kerana musuh yang berakal itu lebih baik daripada sahabat yang bodoh. Bersahabat dengan orang yang kurang berakal juga tidak dapat membina atau menambah baik kepada kita tetapi kita tetap wajib berbaik-baik dengan mereka.

2. Orang yang baik akhlaknya.
Maka janganlah engkau bersahabat dengan orang yang jahat perangainya iaitu orang yang tidak dapat mengawal dirinya ketika marah dan ketika dia dirangsang oleh nafsu syahwatnya.

Begitulah juga dengan orang yang suka mengumpat potpet-potpet sana sini seperti mami jarum, orang yang percakapannya tidak baik dan orang yang selalu mengajak kepada keburukan dan perkara yang melalaikan.

3. Orang yang soleh
Jangan engkau bersahabat dengan orang yang fasik yang selalu mengerjakan dosa yang besar, kerana orang yang tidak takut akan Allah itu tidak mengesali dalam membuat dosa yang besar dan orang yang tidak takut kepada Allah tidak dapat dipercayai sepenuhnya. Bahkan pendiriannya tidak tetap selalu berubah-ubah mengikut keadaan dan tekanan. Maka jauhi dari bersahabat dengan orang yang fasik kerana berterusan melihat perkara-perkara yang fasik dan maksiat itu akan menghilangkan kebencianmu terhadap maksiat tersebut lalu akhirnya engkau merasa ringan hal maksiat dan akhirnya terturut melakukan maksiat.

4. Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia.
Jangan engkau bersahabat dengan orang yang tamak dunia,kerana bersahabat dengannya adalah racun yang dapat membunuh. Tabiat itu cepat sekali mempengaruhi tabiat yang lain dan perangai yang baik cepat sekali berubah menjadi jahat,sekiranya kita tidak menyedarinya. Maka suka bersahabat dengan orang yang tamak pada dunia akan menambahkan tamakmu terhadap dunia. Bersederhanalah. Kesenangan dunia hendaklah dicari tanpa meninggalkan amalan untuk bekalan akhirat.

5. Orang yang benar
Jangan engkau bersahabat dengan orang yang pendusta,barangkali dia akan menipu engkau. Berbohong adalah tabiat buruk yang dicela agama dan tidak disukai oleh siapa juga.

Dengan memilih sahabat yang baik diharapkan kita akan juga menjadi baik.Jika sahabat orang yang sering melakukan dosa, dikhuatiri kita akan turut berdosa kerana membiarkan mereka membuat dosa atau meredai perbuatan mereka atau membiarkan kemungkaran tanpa menegahnya. Jika kita mendengar orang mengumpat, kita tidak menegahnya, apalagi kalau kita tumpang tokok, bermakna kita memperolehi dosa percuma!

 SUMBER:-

Monday, March 12, 2012

Ayat Seribu Dinar

Ayat seribu dinar adalah ayat suci al-Quran yang dipetik dari surah Al-Talaaq ayat 2-3 :
Firman Allah SWT yang bermaksud :
{2}……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
{3} Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Diceritakan bahawa seorang saudagar telah membayar sebanyak seribu dinar untuk mendapat ayat ini yang dikatakan fadhilatnya ialah mendapat menyelamatkan pembacanya dari malapetaka. Di dalam perjalanan pulang, kapal saudagar ini telah dipukul ombak dan beliau terus membaca ayat tersebut. Dengan izin Allah SWT, hanya beliau seorang saja yang terselamat dari bencana itu.
Di antara kelebihan dan fadhilat ayat seribu dinar ini ialah :
* Di baca apabila kita hendak bertawakkal terhadap sesuatu perkara.
* Menghilangkan keresahan bila di baca di waktu resah.
* Di baca ketika hendak menaiki kenderaan
* Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.
Al-Quran itu adalah penawar. Kajilah Mukjizat Rasulullah S.A.W ini kerana banyak lagi kelebihan-kelebihan yang masih belum di terokai.

Sumber: http://ibnismail.wordpress.com/

Kelebihan Ayat Kursi

Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.”
  1. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”
  2. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.”
  3. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.”
  4. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.”
  5. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.”
  6. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.”
  7. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.”
  8. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.”
  9. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.”
  10. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.”
  11. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala Nabi-nabi, juga Allah melimpahkan padanya rahmat.”
  12. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.”
  13. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wa jalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.”
  14. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.